Banjir di Sabah: Semua agensi kerajaan dan negeri digerakkan secara menyeluruh

Hujan berterusan menyebabkan beberapa kampung di Sabah dilanda banjir. Foto/Hajiji Haji Noor

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri telah digerakkan secara menyeluruh di Sabah bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua agensi Persekutuan dan negeri digerakkan secara menyeluruh untuk operasi pemindahan, penyelamatan dan bantuan.
  • Timbalan Perdana Menteri menyeru doakan penduduk Sabah dan ingatkan kepatuhan arahan pihak berkuasa.
  • Jumlah mangsa meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat 8 pagi tadi.
  • 18 pusat pemindahan sementara beroperasi di tiga daerah terjejas: Kota Marudu, Pitas dan Paitan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa sama menyeru rakyat untuk terus mendoakan kesejahteraan penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir ketika umat Islam menyambut Ramadan.

“Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin… saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah terus meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi, berbanding 406 orang daripada 124 keluarga pada petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 18 pusat pemindahan sementara kini beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan.

Ketika ini, 47 kampung dilapor terjejas masing-masing 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu serta lima di Paitan selepas banjir melanda ketiga-tiga daerah itu pagi semalam susulan hujan berterusan selama beberapa hari lepas.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi manakala ribut petir berpotensi berlaku pada waktu petang dan malam.