fb fb fb fb fb

Banjir di Sabah dan Pahang meningkat manakala Johor semakin baik

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 15 Januari - Bilangan penduduk terjejas banjir di Sabah dan Pahang mencatatkan peningkatan manakala Johor berkurangan menjadikan jumlah terkini keseluruhan mereka yang terjejas seramai 663 orang setakat 6.00 pagi ini berbanding 692 orang malam tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah itu meliputi 224 orang daripada 68 keluarga yang berlindung di empat PPS di Sabah, 175 orang daripada 58 keluarga di empat PPS di Pahang dan 264 orang daripada 64 keluarga di tujuh PPS di Johor.

Di Sabah, seramai 75 orang berlindung di tiga PPS di Beluran manakala 149 orang berlindung di sebuah PPS di Sandakan.

Di Pahang, 40 orang ditempatkan di dua PPS di Pekan manakala seramai 135 orang ditempatkan di dua PPS di Rompin.

Di Johor, seramai 124 orang berlindung di dua PPS di Kota Tinggi, 63 orang di dua PPS di Segamat, 23 orang di sebuah PPS di Batu Pahat, 38 mangsa di sebuah PPS di Kluang manakala 16 orang di sebuah PPS di Mersing.

Dalam pada itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Kelantan, Pahang, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya pagi ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat manakala di Kelantan membabitkan Sungai Kelantan, Pahang membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin, di Perlis membabitkan Sungai Arau manakala di Terengganu membabitkan Sungai Terengganu Kuala Terengganu.

Sementara itu, NADMA memaklumkan terdapat 44 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Petri Jaya, Kota Tinggi, Johor, Jalan Serengkam, Maran, Pahang, Jalan Bukit Besi – Dungun di Maran, Terengganu dan Jalan Temerloh-Jerantut di Temerloh, Pahang.

NADMA turut memaklumkan 47 orang daripada 12 keluarga masih kekal berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah, manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak ekoran insiden kebakaran.

TETITIA YUSOFF