fb fb fb fb fb

Banjir di Pasir Mas masih dalam keadaan bertahan

PASIR MAS, 28 Februari - Situasi keadaan air banjir di Pasir Mas, Kelantan masih dalam keadaan bertahan dan kebanyakkan kawasan di daerah itu terjejas teruk akibat menerima limpahan air sungai Golok.

Tinjauan menggunakan helikopter jenis AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berlepas dari padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong pukul 4.30 petang.

Lokasi tinjauan tertumpu di kawasan Rantau Panjang yang merupakan kawasan terjejas teruk di negeri itu ketika ini.

Berdasarkan pemerhatian selama satu jam di udara, keadaan air di pekan Rantau Panjang masih bertahan dan ada diantara penduduk masih berada di kediaman masing-masing.

Tinjauan juga mendapati, dua kawasan di Lembangan Kesban pecah dan keadaan itu menyebabkan limpahan air memenuhi kawasan berdekatan.

(Tinjauan udara krew RTM di kawasan Rantau Panjang)

Helikopter dikendali Penguasa Bomba (PgB) Kepten Mohamad Muiz Pisar dan dibantu oleh Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Akmaluddin Said.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, selain melakukan pemantauan, anggota ditugaskan bagi operasi penyelamatan dan penghantaran makanan ke kawasan yang terjejas banjir.

“Jabatan bomba juga memandang serius berhubung banjir kali ini yang difahamkan khususnya di kawasan Rantau Panjang berbeza berbanding tahun ini, iaitu meningkat lebih tinggi daripada biasa," kata Abdul Wahab di sini.

Laporan Noralia Ramlee.

Media Baharu