fb fb fb fb fb

Banjir di Pahang semakin pulih

FOTO FAIL

KUANTAN, 11 Disember - Hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Pahang selepas satu PPS di daerah Maran ditutup.

Menurut Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 52 orang terdiri daripada 22 keluarga berlindung di PPS Balairaya Kampung Jara telah dibenarkan pulang petang tadi.

"PPS yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Teh, Jerantut yang menempatkan 17 penduduk terjejas terdiri daripada empat keluarga.

"Manakala, PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak Bak, Maran masih menempatkan empat sekeluarga," kata InfoBencana JKM.

Dalam pada itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan tiga sungai di Pahang berada pada aras bahaya.

Sungai terbabit adalah Sungai Pahang di Kuala Tembeling dan Sungai Pahang di Jerantut Feri masing-masing di Jerantut serta Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Dalam pada itu di Kelantan, PPS terakhir ditutup sekitar pukul 5.00 petang tadi.

Berdasarkan InfoBencana JKM, ia membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi I yang terdahulu menempatkan seramai 41 penduduk terjejas.

Dalam pada itu, portal public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan, Satu sungai melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan trend menaik.

TETITIA YUSOFF