fb fb fb fb fb

Banjir di Pahang, lima PPS masih beroperasi

Foto Fail

KUANTAN, 14 Januari- Seramai 718 orang penduduk terjejas banjir di Pahang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 12.00 tengah hari.

Kesemua 215 keluarga tersebut membabitkan penduduk terjejas banjir di daerah Pekan dan Rompin.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penduduk terjejas banjir paling ramai adalah di Pekan melibatkan 573 orang yang berlindung di tiga PPS.

Diikuti, Rompin iaitu seramai 145 orang berlindung di dua PPS.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), beberapa lembangan sungai masih berada paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Rompin hari ini.

Sementara itu, banjir di Johor mencatatkan angka penduduk terjejas turun kepada 1,124 orang setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.

Kesemua masih berlindung di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima daerah di Johor.

Tiga jalan masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing, Lingkaran Kahang Barat (Felda Kahang Barat) dan selepas Felda Kahang Barat, Kluang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM