fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah semakin pulih

Situasi banjir empat daerah di Kedah semakin pulih.

ALOR SETAR, 11 Oktober - Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di Kedah petang ini terus berkurangan.

Setakat 5 petang tadi, 3,172 penduduk daripada 986 keluarga masih ditempatkan di 19 PPS.

Jumlah itu berkurangan berbanding 3,360 penduduk tengah hari tadi.

Sementara itu, dua lagi PPS di Daerah Kubang Pasu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Darul Aman dan SK Bukit Tinggi juga ditutup pukul 3.30 petang tadi.

Daerah Kota Setar kekal mencatatkan jumlah penduduk dipindahkan ke PPS tertinggi iaitu 1,701 orang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua penduduk terjejas banjir di Kota Setar ditempatkan di sembilan PPS.

Sementara itu, di Kubang Pasu, jumlah penduduk ditempatkan di PPS berkurangan kepada 430 orang berbanding 613 penduduk, tengah hari tadi.

Mereka ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan PPK Lubuk Batu (117 orang); SMK Indera Putra (115); SK Padang Pekan (198).

Di Pokok Sena pula, 531 penduduk masih ditempatkan di lima PPS dan di Pendang, dua PPS masih dibuka menempatkan 510 penduduk terjejas.

Trainee2