fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah, catat peningkatan penduduk terjejas

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah mencatatkan seramai 1,372 orang daripada 456 keluarga, setakat pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 1,332 orang daripada 426 keluarga, malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua penduduk terjejas dari daerah Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu dan Baling itu ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah Pokok Sena mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 696 orang daripada 220 keluarga yang ditempatkan di PPS Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.

Di Kota Setar, penduduk terjejas kekal dengan bilangan 416 orang daripada 130 keluarga berlindung di tiga PPS, melibatkan SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.

Sebanyak 126 orang daripada 44 keluarga di Kubang Pasu pula masih berada di PPS Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Di Baling, empat PPS baharu dibuka mulai semalam.

Daerah itu merekodkan 134 penduduk terjejas daripada 62 keluarga, ditempatkan di SK Tanjung Pari, SK Seri Bayu dan SK Siong.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 8.00 pagi, Sungai Ketil di Baling, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Jambatan TAR, Kota Setar, merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM