fb fb fb fb fb

Banjir di Johor, angka penduduk terjejas meningkat

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 20 Mac- Angka penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 5,092 orang, daripada 1,284 keluarga, setakat pukul 10.00 malam tadi. 

Jumlah itu menunjukkan pertambahan mendadak berbanding, 3,694 penduduk daripada 917 keluarga, pada pukul 8.00 malam. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 79 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi di lima daerah. 

Johor Bahru, daerah paling terjejas teruk dengan 1,288 orang penduduk, disusuli Kota Tinggi, seramai 1,233 penduduk.

Sementara itu, di Pontian melibatkan 913 orang, Kulai pula sebanyak 878 orang dan Kluang, 780 penduduk. 

Di daerah Kota Tinggi, dua laluan jalan terputus hubungan membabitkan Jalan Lukut Cina - Taman Aman dan Jalan Mawai Lama, yang ditutup sepenuhnya ekoran arus deras. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM