fb fb fb fb fb

Banjir di Ijok pulih sepenuhnya, kerja pembersihan dilaksana

FOTO RTM

KUALA SELANGOR, 8 Oktober- Banjir yang melanda di Ijok, Kuala Selangor kini pulih sepenuhnya.

Ini selepas dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Sekolah Rendah Agama Ijok dan Dewan Rafulin, Bukit Badong ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.

Pemantauan RTM di beberapa lokasi perumahan mendapati penduduk mula membersihkan kediaman mereka yang terkesan akibat bencana banjir.

Kerja-kerja pembersihan turut giat dibantu oleh anggota bomba dan agensi-agensi lain.

"Semua dah rosak seperti mesin basuh, almari, meja, kerusi dan sofa.

"Alhamdulillah semua pihak termasuk bomba, askar, orang kampung, ketua kampung , tolong membantu membersihkan rumah dan kerja ini satu hari belum siap, paling kurang tiga hari," ujar Abdul Rahim Ikwan, salah seorang penduduk terjejas.

Sementara itu, penduduk terjejas berharap projek tebatan banjir dapat segera disiapkan bagi mengelak kejadian banjir berulang pada masa akan datang.

"Kita harapkan kalau boleh sebab banjir ini bukan tahun ini sahaja, boleh dikatakan terjadi hampir setiap tahun.

"Jadi, kita harapkan projek tebatan banjir dapat disiapkan secepat mungkin sekali gus mengelak banjir daripada berlaku lagi," kata Nazarul Mohd Mohsin ketika ditemui RTM.

Pada 4 Oktober lalu, media melaporkan hampir 2,000 penduduk terjejas daripada 480 keluarga dipindahkan ke enam PPS berikutan banjir kilat akibat hujan lebat di tiga daerah iaitu Gombak, Shah Alam dan Kuala Selangor.

Trainee2