fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di enam negeri meningkat pagi ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 27 Disember - Setakat pukul 6.00 pagi tadi jumlah penduduk terjejas banjir di enam negeri meningkat kepada 28,310 orang berbanding 25,938 orang petang semalam.

Laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata Johor dan Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Kelantan kekal dengan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 PPS, meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada 4 petang semalam.

Di Terengganu pula, jumlah pendudui terjejas banjir sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 orang di sembilan PPS berbanding 590 orang di 13 PPS.

Selangor kekal dengan empat orang yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat, manakala dua negeri terbaharu dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 orang di tiga PPS dan 83 orang di sebuah PPS.

Laporan itu turut memaklumkan daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di daerah Cameron Highlands yang melibatkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 orang daripada 17 keluarga.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

TETITIA YUSOFF