fb fb fb fb fb

Banjir di Bukit Ibam berikutan limpahan air sungai

Penduduk terjejas banjir di Dewan Orang Ramai Bukit Ibam

ROMPIN, 7 Januari- Dua buah kediaman penduduk di Bukit Ibam, Rompin dimasuki limpahan air sungai berdekatan berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
 
Susulan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada pukul 8.00 malam tadi di Dewan Orang Ramai Bukit Ibam.
 
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rompin, "kesemua sembilan penduduk daripada dua buah keluarga terjejas itu telah dipindahkan ke PPS berkenaan.
 
"Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bantuan kit makanan kepada penduduk terjejas di PPS berkenaan," katanya.
 
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pahang iaitu sekitar Pekan, Rompin dan Kuantan.
 
Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan pada pukul 8.15 pagi tadi, hujan berterusan juga dijangka berlaku di seluruh Johor.
 
Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) peringkat negeri dan daerah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana terutama di kawasan berisiko tinggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI