GUA MUSANG, 25 Disember - Empat lelaki yang bekerja sebagai pekebun sayur berdepan detik cemas selepas terperangkap di atas pokok dalam kebun sayur bersebelahan Sungai Brooke dekat Pos Blau hari ini.
Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa merupakan dua lelaki warga tempatan dan dua warga Myanmar masing-masing berusia 24 tahun hingga 69 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba pada 9.30 pagi tadi.
"Kesemua mereka terperangkap lebih empat jam di atas pokok rambai apabila tempat tinggal mereka di dalam kebun sayur itu hanyut dibawa arus deras sungai.
“Kesemua mangsa melarikan diri ke stor baja sebelum terpaksa memanjat pokok tersebut untuk menyelamatkan diri dan terus menghubungi majikan mereka," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, seramai lapan anggota bergegas menaiki tiga kenderaan pacuan empat roda (4WD) ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.30 pagi.
"Sebuah bot penyelamat turut digunakan untuk meredah arus sungai dalam usaha membawa mangsa turun dari atas pokok ke tempat yang selamat," tambahnya.
Katanya, kejadian awal pagi itu berlaku berhampiran lokasi jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis yang terputus hubungan baru-baru ini apabila dinaiki air sedalam lebih dua meter sejauh 150 meter.