KANGAR, 30 November- Perlis merekodkan 520 orang penduduk terjejas banjir setakat pukul 8.00 pagi, berbanding 490 orang tengah malam tadi. Penduduk terjejas ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud dalam kemas kini terbaharu, memaklumkan empat PPS yang beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, Sekolah Kebangsaan Guar Nangka dan Sekolah Kebangsaan Arau serta Dewan Warisan Kangar.
PPS SK Arau masih mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 173 orang daripada 51 keluarga. Diikuti PPS Dewan Warisan, Kangar meningkat kepada 142 penduduk daripada 41 keluarga berbanding 123 penduduk daripada 33 keluarga sebelum ini.
Manakala, PPS SK Titi Tinggi yang menempatkan penduduk terjejas banjir dari Kampung Titi Tinggi Hilir dan Kampung Guar Tinggi kekal dengan 133 orang daripada 36 keluarga.
Sementara itu, PPS SK Guar Nangka menempatkan 72 penduduk terjejas banjir terdiri daripada 21 keluarga dari lima buah kampung.
Ketika ini, Empangan Timah Tasoh berada pada paras bahaya iaitu 29.80 meter dan Sungai Kampung Bakau pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 3.22 meter.