Bangunan Simulator Akademi MAB, pusat latihan penerbangan bertaraf dunia

Malaysia Airline Berhad juga memiliki simulator B737-800 dan A330 NEO, yang telah diperakui dan memenuhi keperluan latihan yang semakin meningkat./Foto BERNAMA

SEPANG, 6 JANUARI – Malaysia berpotensi menjadi pusat latihan penerbangan bertaraf dunia di ASEAN.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran Bangunan Simulator MAB memperkukuh Malaysia sebagai pusat latihan penerbangan bertaraf dunia di ASEAN.
  • Fasiliti moden termasuk enam simulator penuh untuk A330neo, B737-800NG dan ATR 72-500 tingkatkan kualiti latihan.
  • Penekanan pada latihan modal insan penting untuk keselamatan, kualiti operasi dan daya saing industri penerbangan negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia menerusi pelancaran Bangunan Simulator Akademi Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang disifatkan sebagai pelaburan strategik bagi memperkukuh masa depan industri penerbangan negara.

Sekali gus mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam industri penerbangan.

Beliau menekankan ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia, penggunaan teknologi simulasi terkini serta pematuhan kepada piawaian global dari segi keselamatan dan kelestarian, sejajar dengan keperluan industri penerbangan masa kini.

“Permintaan yang meningkat terhadap perjalanan udara meletakkan Malaysia pada kedudukan unik untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini. Namun, aspirasi ini perlu disokong oleh modal insan yang mantap serta kemampuan latihan bertaraf dunia.

“Seiring perkembangan sektor penerbangan negara, keperluan terhadap juruterbang, anak kapal, jurutera, pegawai keselamatan, dan pakar penerbangan yang mahir dijangka terus meningkat. Oleh itu, institusi latihan yang kukuh amat penting bagi memastikan peranan ini disokong oleh profesional yang kompeten, mementingkan keselamatan, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bangunan Simulator Akademi MAB di sini, hari ini.

Tambah beliau, Kementerian juga sentiasa menekankan kepentingan memperluas dan meningkatkan program latihan penerbangan.

Kecemerlangan latihan menjadi teras kepada keselamatan, kualiti operasi, dan daya saing global, disamping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri yang mampan.

Bangunan Simulator baharu MAB ini menampilkan enam ruang simulator penerbangan penuh, termasuk A330neo, Boeing 737-800NG dan ATR 72-500, selain ruang latihan khusus yang menyediakan persekitaran pembelajaran yang fokus dan berkesan.