KUALA LUMPUR, 17 Mei - Semua bangunan milik kerajaan yang berisiko berlaku runtuhan akan sentiasa dipantau.
Ini susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bulan lepas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setakat ini tiada angka spesifik bagi bangunan yang mempunyai masalah.

“Kita memantau beberapa bangunan kerajaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang berulang kerana tidak semua mempunyai masalah yang sama,” katanya ketika ditemui pada majlis Interaksi Warga Kerja Raya dan Sambutan Aidilfitri Bersama Menteri Kerja Raya, di sini.
Nanta turut memaklumkan setakat ini tiada pergerakan tanah yang dikesan selepas pihaknya memasang alat pengesan pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran MACA dan IIM itu pada 26 April lepas.
“Semua kerja penting untuk sementara waktu ini telah dibuat di lokasi dan laluan kawasan berkenaan. Kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air di kawasan terlibat juga sudah dibaik pulih,” katanya.