fb fb fb fb fb

Bangun prasarana asas Pulau Pinang, jadi pusat industri, pelancongan

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

GEORGE TOWN, 29 Jun- Kerajaan Persekutuan akan lebih memberi perhatian kepada Pulau Pinang khususnya dalam pembangunan prasarana asas bagi meningkatkan kemampuan negeri itu sebagai pusat industri dan pelancongan yang baik.

Perkara yang dilaksana itu susulan Pulau Pinang terus memegang kedudukan penting dalam ekosistem semikonduktor dunia selain menjadi pilihan pelabur asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan lebih banyak program latihan dalam bidang berkenaan.

Ia sekaligus akan meningkatkan potensi belia Pulau Pinang dapat diangkat lebih tinggi dalam bidang kejuruteraan, sains serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Fokus kerajaan negeri itu betul dan saya harap Pulau Pinang akan terus meningkatkan program latihan dan bersinergi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain.

"...dengan ini keupayaan anak-anak Pulau Pinang dapat diangkat lebih tinggi dalam bidang kejuruteraan, sains serta TVET," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera di sini.

Dalam pada itu Perdana Menteri juga berharap pembangunan baharu yang berteknologi tinggi seperti projek Kereta Kabel Bukit Bendera, tidak melupakan soal alam sekitar dan budaya setempat dalam seni binanya.

Biarpun teknologi moden dengan infrastruktur yang hebat serta mengagumkan, namun ciri-ciri unik yang ada di Bukit Bendera perlu dipelihara.

"Dalam usaha kita mempromosikan Kereta Kabel Bukit Bendera dengan teknologi moden, kita mesti sentiasa mementingkan alam sekitar dan ciri-ciri budaya Pulau Pinang dan Malaysia yang unik supaya ia kekal menarik.

"Projek ini sememangnya mengambil kira aspek persekitaran dalam rancangan pembinaannya, tapi kita juga mahu tekankan tentang budaya supaya ada keindahan dan kelainan dalam bidang seni bina, yang diserasikan dengan kedudukan Pulau Pinang," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI