fb fb fb fb fb

Bangsar Ecological Connector, bina ekosistem perbandaran mapan dan lestari

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Bangsar Ecological Connector, projek penghijauan bandar yang dipacu komuniti; ke arah membina ekosistem perbandaran yang mapan dan lestari.

Projek yang menghubungkan hutan bandar Pulai Trail dengan kawasan hijau Rimba Ilmu di Universiti Malaya itu, bertujuan mewujudkan landskap laman ekologi dan landskap jalan mesra hidupan liar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, ia secara tidak langsung dapat merintis usaha bersepadu untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar lestari dan sesuai dihuni; dengan memberi keutamaan terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna, khususnya di parlimen itu.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berharap, inisiatif tersebut dapat memacu usaha berterusan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat demi kesejahteraan warga kota, secara keseluruhannya.

"Dan harapan saya kita dapat usahakan di lebih banyak lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Kita tidak mahu sekadar melihat 'urban concrete jungle', tetapi kita nak pastikan ada ruang-ruang yang sihat untuk kita membesarkan keluarga dan juga beriadah.

"Jadi saya harap lembah pantai dapat menjadi peneraju, pelopor dan perintis dalam program seperti ini dan insya-Allah, kita akan bawa ke tempat-tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Bangsar Ecological Connector : Inisiatif Penghijauan Dipacu Komuniti, di ibu negara.

Bangsar Ecological Connector akan melibatkan penduduk bandar dalam menanam tumbuhan
dan pokok tempatan yang menyokong hidupan liar tempatan, khususnya burung dan kupu-kupu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI