
SUNGAI BULOH, 11 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan usaha mengesan dan menangkap seorang banduan tahanan reman yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh.
- Operasi pencarian dipergiat dengan bantuan PGA, Pangkalan Gerakan Udara dan JKDNKA.
- Pemeriksaan sempadan diperketat untuk mengelakkan suspek melarikan diri ke luar negara; keselamatan awam masih terkawal.
- Orang ramai diminta tidak menyebar spekulasi, berwaspada dan hubungi pegawai penyiasat atau bilik operasi SAC jika mempunyai maklumat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor dalam kenyataan memaklumkan, operasi mencari dan menangkap kini dipergiat dengan bantuan beberapa pasukan keselamatan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pangkalan Gerakan Udara serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
“Pihak berkuasa yang mengawal pintu sempadan negara turut dimaklumkan bagi memperketatkan pemeriksaan bagi mengelakkan suspek melarikan diri ke luar negara.
“PDRM turut memberi jaminan bahawa keselamatan awam ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga diminta untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran serta menggugat ketenteraman awam selain berwaspada dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan dalam kehidupan seharian.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi banduan terbabit diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat atau bilik operasi Search and Capture (SAC) bagi membantu siasatan.