KAJANG, 19 Disember - Penduduk Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini kini menikmati kemudahan dan infrastruktur lebih baik menerusi program Kampung Angkat MADANI bawah seliaan Jabatan Penyiaran Malaysia.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, antara penumpuan skop kerja menerusi program itu ialah menaik taraf balai raya untuk kegunaan aktiviti penduduk setempat.
Kejayaan program itu tidak sekadar terletak pada pembinaan fizikal dan infrastruktur, sebaliknya pada pengisian berterusan yang akan dilaksanakan termasuk penganjuran pelbagai aktiviti bagi pembangunan dan pemerkasaan komuniti setempat.
"Kita dapat melihat balai raya ini sudah siap dengan baik. Bagi saya, perkara paling penting selepas ini ialah bagaimana kemudahan ini akan dimanfaatkan melalui pelaksanaan projek seterusnya. Alhamdulillah, projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya, dan kini tumpuan diberikan kepada pengisian selepas siapnya kemudahan ini.
"Apa yang menggembirakan, bukan sahaja komuniti setempat menggunakan tempat ini, malah anak-anak kita yang mengikuti Kelas Bahasa Inggeris Santuni MADANI turut hadir meraikan bersama serta mempamerkan apa yang telah mereka pelajari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serahan Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini.
Antara penambahbaikan dilaksana termasuk pemasangan bumbung tambahan, penggantian lantai jubin, mengecat bangunan serta pembelian kelengkapan seperti set komputer, perabot, penghawa dingin.
Projek menaik taraf balai raya ini mula dilaksanakan pada 5 Ogos dan siap sepenuhnya pada 14 November lalu. Majlis penyerahan balai raya yang telah siap sepenuhnya kepada pihak jawatankuasa kampung berlangsung pagi tadi.