KAYANG, 21 Jun - Program Bakti Madani Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) merupakan serampang dua mata yang bukan sahaja berkonsepkan kekeluargaan malah memberi ruang kepada pelajar berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan komuniti dalam pelbagai lapangan.
Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi Hirman Awang @ Semail, inisiatif ini sekaligus memberi faedah kepada pembangunan negara sejahtera.
Beliau berkata melalui konsep pelaksanaan yang difokuskan kepada pendekatan khidmat komuniti dan libatsama komuniti, ia turut membuka arah kepada melonjak sahsiah unggul berciri watan melalui sumbangan berasaskan Teras Pembangunan Komuniti.
"Program sebegini menjadi satu manifestasi penting kepada pendekatan baharu yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Fokus utama ialah Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan Ilmu, berpandukan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi ke-11 iaitu memberdaya komuniti dan industri melalui pemindahan dan perkongsian ilmu," katanya.
Pada masa sama, masyarakat setempat turut memperoleh manfaat secara langsung daripada pengetahuan dan kepakaran yang dibawa masuk oleh institusi pendidikan tinggi melalui program seumpama ini.
Beliau memaklumkannya pada Perasmian Program Bakti Madani UniMAP di Kampung Gunung Medan, Utan Aji.
Program yang berlangsung selama tiga hari yang akan berakhir esok melibatkan seramai 50 mahasiswa UniMAP yang akan bersama 25 keluarga angkat di Kampung Gunung Medan.
Antara aktiviti dilaksanakan termasuk Program Khidmat Komuniti Tukar Minyak Hitam Motosikal, Kenduri Kampung, Sukan Rakyat, Gotong Royong Madani, Program Membangun Minda Matematik dan Sains serta Malam Kebudayaan.