PUTRAJAYA, 13 Oktober- Kerajaan komited dalam memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) dapat membina kehidupan lebih baik dan dapat menyumbang kepada negara dalam pelbagai aspek.
Ini termasuk pendidikan, pembangunan kerjaya, kebolehcapaian dan hak kesamarataan berteraskan konsep Malaysia MADANI.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Julina Johan menyeru seluruh komuniti berkenaan untuk tampil ke depan tanpa ragu-ragu untuk mengetengahkan bakat yang boleh meningkatkan potensi diri masing-masing.
"Setiap seorang daripada kita mempunyai nilai dan potensi yang boleh disumbangkan dalam mencapai aspirasi pembangunan negara.
"Pada masa sama limpahan kemajuan dan kemakmuran negara menjadi hak sama rata untuk kita nikmati tanpa mengira kekurangan atau kelemahan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Kanan (Pengurusan) Jabatan Penerangan (JaPen) Naim Fahmi Ahmad Tajuddin semasa majlis perasmian program Rehlah Watan 2024 di sini.