fb fb fb fb fb

Bajet 2024, NAFAS harap sektor pertanian diberi keutamaan

KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berharap sektor pertanian diberi keutamaan dalam Bajet 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin berkata NAFAS bersedia menjadi rakan penyelesaian bersama kerajaan, menambah baik serta mempergiatkan lagi industri tersebut.

"Kami berharap kami terus diberikan kepercayaan oleh KPKM untuk pembuatan dan pembekalan baja subsidi serta bantuan input pertanian bersubsidi kepada pesawah di seluruh Malaysia," kata Faris kepada pemberita di Angkasapuri Kota Media.

Turut diharapkan, penambahan peruntukan bagi penyelidikan dan pembangunan formulasi baja baharu, bantuan subsidi racun dan pengapuran serta pengecualian cukai mekanisasi dan automasi.


(Foto Fail)

Langkah itu dapat menggalakkan penggunaan jentera serta peralatan teknologi moden sesuai bagi para petani.

Bagi industri padi dan beras pula, NAFAS berhasrat menambah keluasan penanaman serta meningkatkan produktiviti per hektar.

"Kami berharap supaya kontrak pembuatan dan pembekalan, bantuan input pertanian subsidi kepada pesawah diteruskan untuk diberi kepada NAFAS, bertepatan dengan slogan daripada peladang untuk peladang dan kepada peladang.

Hampir 200,000 pesawah yang menerima subsidi adalah ahli peladang," tambahnya.

Beliau berharap peruntukan lebih RM1 bilion kepada NAFAS masih diteruskan, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Media Baharu