KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Selain pembiayaan mikro, Kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, melalui Bank Negara Malaysia (BNM), RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.
"Kepada usahawan Bumiputera, Kerajaan melalui TERAJU dengan dana RM135 juta akan menyediakan kemudahan pembiayaan sokongan antaranya di bawah Dana Kemakmuran Bumiputera," katanya
Jelasnya lagi, sejumlah RM200 juta juga disediakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi menyediakan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan untuk Bumiputera yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan.
Zafrul berkata, sebagai pelengkap kepada inisiatif pembiayaan, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga tahun 2024.