fb fb fb fb fb

Bajet 2023: Durian runtuh buat penjawat awam dan pesara

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kira-kira RM2,500 bantuan khas kewangan terkumpul akan akan diberikan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah. Turut tidak terkecuali bantuan khas juga akan diberikan kepada kira-kira sejuta pesara kerajaan menerusi inisiatif Bantuan Khas Kewangan 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penjawat awam gred 56 ke bawah akan menerima sebanyak RM700 dan sejuta pesara kerajaan akan menerima sebanyak RM350 yang akan memberi implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion.

"Sukacita juga diumumkan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023. Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500.

Tambahnya, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

"Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 yang bergaji RM1,600 mendapat Kenaikan Gaji Tahunannya sebanyak RM80 pada setiap bulan April, bagi tahun hadapan, beliau turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak RM100 bermula pada bulan Januari 2023. Ini menjadikan gaji akhir beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1,780 dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya," katanya.

Selain itu pada 2023, kerajaan turut membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus dinaikkan sehingga maksimum 90 hari. Ia selaras pengumuman beberapa imbuhan kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 pada 30 Ogos lalu.

"Antara yang utama termasuklah kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari dengan anggaran implikasi kewangan 100 juta ringgit setahun," kata Tengku Zafrul.

"Diharapkan kenaikan penebusan awal ini, dapat membantu penjawat awam yang memerlukan," tambahnya. 

Selain itu, Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan telah melaksana beberapa inisiatif, termasuklah penurunan kadar pembiayaan bagi skim pinjaman komputer dan telefon pintar daripada 4 peratus kepada 2 peratus.

Bawah Bajet 2022, Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100 juta diteruskan untuk manfaat 40,000 peminjam baharu LPPSA.

Untuk tahun hadapan, subsidi sebanyak RM100 turut diberi bagi perlindungan insurans atau takaful isi rumah yang bernilai RM20,000.

bonus
(Foto Hiasan)

Media Baharu