Baik pulih Jalan LTU Gua Musang dilakukan, beri keselesaan pengguna

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kanan) meninjau tapak projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Taman Wangi hari ini/ BERNAMA

GUA MUSANG, 2 Februari – Kerja menyelenggara atau kerja rutin seperti memotong rumput dan menampal lubang jalan sementara bagi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di Taman Wangi Gua Musang, di sini sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan khususnya pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja penyelenggaraan rutin seperti menampal lubang dan memotong rumput dilaksanakan untuk atasi kesesakan semasa musim cuti.
  • Roadcare (M) Sdn. Bhd. diberi tanggungjawab memperbaiki hampir dua kilometer laluan bagi keselesaan pengguna.
  • Kerja pembaikan cerun di Km 45 Jalan Gua Musang-Lojing dijadual bermula Mac dengan kelulusan JKR untuk tindakan segera.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu untuk memberi keselesaan laluan sepanjang hampir dua kilometer kepada pengguna dan ia akan dilaksanakan syarikat konsensi Roadcare (M) Sdn. Bhd.

“Buat sementara waktu, kita akan memperbaiki jalan dan menumpukan keutamaan pada musim Tahun Baharu Cina serta Ramadan ini. “Kita akan menampal dan membaik pulih jalan. Sebab itu saya sudah bertanya kepada konsesi dan mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau tapak projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C dekat Taman Wangi di sini hari ini.

Sementara itu, berkenaan kerja pembaikian cerun di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing akan bermula pada Mac depan. Kementerian Kerja Raya (KKR) memahami kesulitan yang perlu dihadapi pengguna jalan raya dan penduduk sekitar akibat penutupan laluan itu.

Pada 30 Januari lalu pihak KKR sudah memberikan kelulusan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksanakan segera kerja pembaikan lokasi runtuhan secara Arahan Kerja (AK) yang akan dilaksanakan pihak kontraktor.