SHAH ALAM, 9 Oktober -Setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa autoriti dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar serta undang-undang negara mesti ditegakkan melalui penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya bagi memastikan martabat bahasa kebangsaan terus dihormati.
“Saya mahu setiap agensi kerajaan, tanpa kecuali, menjadikan bahasa kebangsaan ini sebagai bahasa autoriti negara.Kalau dasar dan undang-undang kita sendiri tidak tegak dengan bahasa Melayu, bagaimana mungkin rakyat menghormatinya? Biarlah setiap daripada kita memainkan peranannya.
Kementerian menjadi benteng dasar, setiap universiti menjadi menara ilmu, dan setiap rakyat menjadi penjaga lidah bangsa.
Memperkasa bahasa Melayu bererti memperkukuh kedaulatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Program berskala nasional itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk tokoh bahasa, ahli akademik, penggubal dasar, penggiat budaya serta wakil industri dari seluruh negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, UiTM memainkan peranan strategik dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai benteng pertahanan bahasa dan jati diri Melayu-Bumiputera.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dengan UiTM sebagai agensi pelaksana utama.
Sementara itu, semua ketetapan yang dihasilkan daripada Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan akan dibawa untuk penelitian Majlis Pendidikan Negara, termasuk langkah-langkah memperkasa bahasa Melayu di seluruh negara.