
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat bukan sekadar memenuhi formaliti sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh prinsip ketelusan, semak serta tadbir urus berintegriti selaras kerangka Malaysia MADANI.
- Perbahasan LKAN mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan, semak dan tadbir urus berintegriti.
- Kerajaan menjamin setiap teguran LKAN disiasat menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil.
- Tindakan susulan audit menghasilkan pemulihan kewangan signifikan, termasuk kutipan balik dan penalti.
- Reformasi struktur berterusan menyokong peningkatan prestasi antirasuah dan akauntabiliti fiskal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan memberi jaminan bahawa setiap teguran dan dapatan yang dibangkitkan dalam LKAN akan disiasat secara menyeluruh serta diambil tindakan sewajarnya.
“Tindakan susulan audit yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara telah meninggalkan impak kewangan yang sangat signifikan. Sehingga 31 Disember 2025, kerajaan berjaya mengutip hasil dan mendapat bayaran balik berjumlah RM316.68 juta, antaranya melalui tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai,” katanya.
Datuk Seri Azalina berkata demikian ketika membentangkan usul berhubung LKAN 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, mandat pengauditan Ketua Audit Negara diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Audit 1957 yang menetapkan tanggungjawab mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan dan aktiviti kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Sementara itu, beliau menjelaskan pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 yang menyaksikan negara berada di kedudukan ke-54 daripada 182 negara, sekali gus mencerminkan momentum pembaharuan positif.
Beliau berkata, peningkatan tersebut bukan kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan reformasi struktur secara konsisten dalam usaha memperkukuh akauntabiliti fiskal serta tadbir urus awam negara.