fb fb fb fb fb

Badan penarafan program TVET akan diwujudkan - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 23 Januari- Satu badan penarafan tunggal program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diwujudkan tahun ini kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu bagi menyeragamkan mutu kualiti program yang ditawarkan di institusi pendidikan berdasarkan permintaan industri.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, penarafan dilaksanakan menerusi kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Ianya adalah untuk menyesuaikan semua kursus-kursus TVET berdasarkan kepada permintaan daripada industrI. Berbeza dengan dahulu siilibus dalam TVET ini dilakukan berdasarkan tawaran oleh institusi itu.

"Jadi perubahan yang dilakukan silibus ini adalah berdasarkan permintaan daripada pemain pemain industri," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis TVET negara di sini.

Pada masa sama Ahmad Zahid berharap lepasan TVET dalam negara diiktiraf sebagai ahli teknologi oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Ia akan memberi nilai tambah kepada mereka bagi meningkatkan tahap gaji selaras dengan tawaran pihak industri dalam bidang teknologi tinggi.

"Apa yang diharapkan ialah dengan menaikkan gaji premium kepada lepasan lepasan TVET ini berdasarkan permintaan daripada pemain industri.

"Apa yang telah disarankan bahwa gaji ini mestilah bersesuaian dengan kelulusan dan nilai tambah yg telah dilakukan oleh institusi TVET ini," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Majlis TVET Negara turut memutuskan supaya kerjaya sebagai pemetik buah kelapa sawit tidak lagi terdiri daripada pekerja asing.

Sebaliknya ia boleh dilakukan oleh pekerja mahir lulusan institusi TVET yang akan diberikan tahap gaji yang tinggi berbanding pekerja asing.

Dalam masa sama, pengambilan pelajar TVET bagi lepasan tingkatan tiga juga akan diperkukuh mulai pengambilan Mac ini bagi menggalakkan pelajar menceburi bidang TVET.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI