fb fb fb fb fb

Bacaan paras air dua sungai utama di Langkawi kian menyusut

Foto: FB Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd.

LANGKAWI, 5 Februari- Cuaca panas berterusan di negeri Kedah telah menyebabkan bacaan paras air di dua sungai utama di daerah Langkawi kian menyusut iaitu Sungai Melaka dan Sungai Kemoja.
 
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 4.00 petang tadi, paras air di Sungai Melaka susut ke paras 2.50 meter berbanding paras normal iaitu 2.90 meter.
 
Manakala Sungai Kemoja pula susut kepada 0.26 meter berbanding paras normal iaitu 1.50 meter.
 
Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan memaklumkan, Sungai Melaka yang menjadi sumber bekalan air mentah utama untuk Loji Rawatan Air (LRA) Padang Saga 3 dan LRA Bukit Kemoja mula mengalami kemerosotan sejak seminggu yang lalu.
 
"Keadaan tersebut berterusan hingga ke hari ini.Sumber air mentah iaitu air sungai merupakan unsur terpenting dalam keseluruhan proses rawatan air.
 
"Tanpa sumber air mentah yang mencukupi dari aspek kuantiti dan kualiti, loji rawatan air (LRA) tidak dapat beroperasi pada kadar normal," menurut kenyataan itu.
 
Sebarang aduan atau pertanyaan, para pengguna boleh menghubungi talian hotline di 1300 88 0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di 04-9610546.
 
Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman serta laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.

ZEHRA BINTI ZAMBRI