fb fb fb fb fb

Baca dan fahami al-Quran, wujudkan model perpaduan mengikut acuan Islam

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap pada Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan, di Seremban pada Khamis

SEREMBAN, 16 Februari - Kerajaan Negeri Sembilan komited menerapkan budaya membaca dan memahami al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran misalnya antara yang dilaksana dan turut dijadikan sumber rujukan bagi mewujudkan model perpaduan mengikut acuan Islam.

"Pada ayat 103 surah Ali-Imran, Allah SWT menyeru umat Islam supaya bersatu dengan berpegang teguh pada ajaran Islam dan melarang keras berpecah-belah. Gagasan Malaysia MADANI melalui enam teras yang digariskan telah memberikan satu nafas baharu kepada agenda perpaduan di Malaysia dalam kerangka negara bangsa dan ia selari dengan tuntutan Maqasid Shariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan yang disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini pada Khamis.  

Seramai 32 orang qari dan qariah kategori remaja dan dewasa serta 35 orang peserta hafazan kategori 10, 20 dan 30 juzuk telah mengambil bahagian pada penganjuran majlis tersebut, kali ini.

Dalam perkembangan lain, berkaitan memperkasa undang-undang syariah di Negeri Sembilan, Aminuddin yang ditemui selepas majlis tersebut berkata sebarang perkara akan dibuat berpandukan kepada ketetapan jawatankuasa khas yang dibentuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan mewujudkan jawatankuasa di peringkat negeri bagi membincangkan perkara berkenaan. 

“Kita yakin bahawa apa yang Kerajaan Persekutuan lakukan iaitu di bawah MKI sudah mencukupi untuk kita rujuk keputusan selepas ini, kesan atau tindakan yang perlu diambil di peringkat negeri.

“Saya yakin (ketetapan itu) akan lebih tersusun dan berharap (pada) masa akan datang, berapa undang-undang yang ingin kita bawa di peringkat negeri atau enakmen lebih mudah dan teratur, kerana ada panduan,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN