
PUTRAJAYA, 22 Februari – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dipanggil memberi keterangan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan pada 19 Februari lalu berhubung isu pemilikan 17.7 juta saham bernilai RM1.416 juta dalam Velocity Capital Partner Bhd.
- Azam Baki dipanggil memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Februari.
- Jawatankuasa Khas meneliti pematuhan dan keteraturan pemilikan saham serta menilai keterangan diperoleh.
- Siasatan akan dilengkapkan secara telus, bebas dan profesional; hasil akan dikemukakan kepada pihak berkuasa jika perlu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata jawatankuasa berkenaan telah bersidang pada tarikh sama bagi meneliti perkara itu.
Menurut beliau, berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa kini sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Tan Sri Azam.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara ini.
“Jawatankuasa memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan hasil siasatan serta syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.