fb fb fb fb fb

Australia naikkan jumlah simpanan pelajar antarabangsa untuk visa

Foto hiasan/REUTERS

SYDNEY, 8 Mei– Australia akan meningkatkan jumlah simpanan pelajar antarabangsa untuk mendapatkan visa dan memberi amaran kepada beberapa kolej mengenai amalan penipuan pengambilan pelajar, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang penghijrahan.

Bermula Jumaat ini, pelajar antarabangsa mesti menunjukkan jumlah wang simpanan sekurang-kurangnya A$29,710 (RM97,787) untuk mendapatkan visa.

Ia merupakan kenaikan kali kedua dalam tempoh tujuh bulan. Had simpanan dinaikkan kepada A$24,505 (RM76,528), berbanding A$21,041 (RM65,717) pada Oktober lalu.

Langkah itu susulan pelbagai tindakan dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengetatkan peraturan visa pelajar kerana penarikan balik sekatan COVID-19 pada 2022, meningkatkan kemasukan warga asing, sehingga meningkatkan tekanan terhadap harga sewa yang semakin tinggi.

Keperluan bahasa Inggeris untuk visa pelajar telah ditingkatkan pada bulan Mac. Kerajaan negara itu telah mengambil langkah yang menghalang mereka daripada menetap di negara tersebut untuk tempoh lebih lama.

Menteri Dalam Negeri Clare O'Neil berkata surat amaran telah dihantar kepada 34 institusi pendidikan bagi pengambilan yang tidak sah atau mengambil kesempatan.

Mereka boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan dilarang mengambil pelajar, jika didapati bersalah, katanya.

Pendidikan antarabangsa ialah salah satu industri eksport terbesar Australia dan bernilai A$36.4 bilion kepada ekonomi pada 2022/23.

Namun jumlah penghijrahan yang tinggi, kebanyakannya disebabkan pelajar antarabangsa, memberi tekanan ke atas kerajaan akibat harga sewa yang melambung tinggi di seluruh negara itu.

Penghijrahan ke negara itu meningkat 60 peratus kepada 548,800 pada tahun 2022 hingga 30 September 2023.

Kerajaan menjangkakan polisinya boleh mengurangkan sebahagian kemasukan migran dalam tempoh dua tahun akan datang.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN