fb fb fb fb fb

Audit bebas terhadap HRD Corp, PAC sambut baik tindakan KESUMA

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Julai-Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik tindakan proaktif yang dilakukan oleh KESUMA untuk melaksanakan pengauditan bebas terhadap HRD Corp susulan laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan PAC.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan langkah yang diambil KESUMA adalah tepat dalam usaha mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada Syarikat Jaminan Kerajaan (CLBG).

"Langkah proaktif KESUMA berkenaan membuktikan bahawa YB Menteri Sumber Manusia berkenaan baru-baru ini berpegang kepada janji untuk tidak menyembunyikan sebarang kebenaran.

"Walaupun, perkara yang dilaporkan PAC dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan ketika YB Tuan Sim Chee Keong menjadi Menteri KESUMA tetapi kesanggupan beliau untuk membuat keputusan melantik firma audit bebas untuk melakukan pengauditan berdasarkan penemuan PAC dan JAN perlu menjadi contoh kepada menteri kabinet yang lain", tegas Mas Ermieyati dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mas Ermieyati turut menggesa agar KESUMA membentangkan penemuan dan dapatan pengauditan audit bebas itu kepada pihaknya apabila dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan pada September nanti.

Semalam (Rabu), Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilaporkan berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas ke atas Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) susulan  laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023.

Jelas Sim, tindakan itu diambil bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD