KUALA LUMPUR, 14 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia kini mengalami perubahan pesat, menyebabkan norma antarabangsa berasaskan kaedah lama menghadapi cabaran baharu.
Beliau menyatakan pendirian itu menerusi buletin Project Syndicate yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.
Menurutnya, meskipun beberapa norma perlu diperbaharui, ada juga yang wajar dikekalkan bagi memastikan keamanan dan kemakmuran global terus terpelihara.
“Politik pasca-kebenaran merosakkan kepercayaan dan demokrasi, manakala persaingan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China meningkatkan ketegangan global serta memberi kesan kepada negara kecil,” katanya.
Malaysia, katanya, komited bersama ASEAN dalam melindungi kepentingan nasional, memperkukuh hubungan dengan kuasa besar serta meningkatkan kerjasama serantau.
Selain itu, Malaysia turut memberi tumpuan kepada membina ketahanan ekonomi menerusi diplomasi pintar, selain memajukan sektor semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui agar kekal berdaya saing di peringkat global.