BANTING, 7 April – Impian seorang kanak-kanak penghidap kanser darah untuk menjadi anggota tentera akhirnya menjadi kenyataan apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama badan kebajikan Make-A-Wish Malaysia menunaikan hasrat si cilik itu menerusi satu program istimewa di Pangkalan Udara Jugra, di sini hari ini.
Kanak-kanak berusia lima tahun, Akif Ziyan Azhar, yang disahkan menghidap penyakit Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL), diraikan dengan penuh istiadat ketenteraan sebagai ‘wira cilik’ negara.
Bermula seawal ketibaannya menaiki kenderaan Fitted for Radio (FFR) jenis Cendana Auto milik ATM, Akif kelihatan ceria dalam persalinan celoreng digital Tentera Darat Malaysia lengkap dengan topi beret.
Akif turut diiringi oleh pasukan pengiring berpakaian tempur yang menjadikan suasana begitu mengujakan.
Lebih bermakna, dengan kehadiran Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar sepanjang program jelas menunjukkan komitmen tinggi ATM dalam menjayakan impian wira kecil itu.
"Kami mengambil Akif dari rumahnya di Jeram pagi tadi untuk membawanya ke Jugra. Selain Akif, kami juga turut membawa anak-anak tentera yang menghidap penyakit kronik lainnya.
"Kami ingin menunjukkan bahawa kami bersedia bersama rakyat, bukan hanya dalam keadaan biasa tetapi juga dalam saat-saat sukar.
“Kami di ATM sentiasa mengangkat nilai kemanusiaan dan masyarakat sebagai teras perjuangan. Kehadiran kami di sini adalah tanda sokongan dan kasih sayang buat Adik Akif dan keluarganya,” katanya ketika ditemui media dalam Program Make A Wish Kanak-Kanak Menghidapi Leukemia Bersama Angkatan Tentera di Padang Kawad, Pangkalan Udara Jugra hari ini.

Program turut diserikan dengan demonstrasi menyelamat tebusan oleh Pasukan Khas Udara (PASKAU), pemeriksaan kawalan suku serta penyampaian cenderahati berupa pakaian seragam PASKAU daripada PAT sendiri kepada Akif.
Sebagai tanda penghargaan, Akif turut menerima pelbagai hadiah daripada ATM, TUDM dan pihak Make-A-Wish Malaysia selain diraikan bersama sepuluh lagi kanak-kanak istimewa yang turut menghidap penyakit kronik.
