fb fb fb fb fb

Atiqullah kebanggaan keluarga-Bapa

Mohd Nasir Yusof (kanan) dan isteri Ruzila Ab Halim (kiri) bersama anak sulung mereka, Muhd Atiqullah (tengah) di Madinah / Foto BERNAMA

MADINAH, 13 Mei - “Dia kebanggaan keluarga”.

Itu luahan sepasang suami isteri jemaah haji Malaysia selepas melihat anak mereka sendiri menjadi Muzawwir pada program ‘Ziarah Luar’ yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pasangan berkenaan, Mohd Nasir Yusof dan Ruzila Ab Halim sepatutnya menunaikan ibadah haji tahun lalu namun terlepas peluang itu selepas tidak menerima surat tawaran menunaikan haji selepas bertukar alamat kediaman.

Rezeki untuk menunaikan haji tahun ini lebih bermakna buat pasangan dari Kota Bharu, Kelantan itu selepas anak mereka, Muhd ‘Atiqullah Mohd Nasir menjadi Muzawwir atau pembimbing haji semasa aktiviti ‘ziarah luar’ di Masjid Quba, Bukit Uhud dan ladang kurma. 

"Alhamdulillah tahun ini saya dapat mesej daripada Tabung Haji (TH) dan saya dapat bertemu anak saya di sini dan dalam waktu sama dia jadi pembimbing haji kepada saya sendiri dan banyak benda saya dapat daripada dia,banyak maklumat baharu yang saya perolehi", katanya di sini.

Dalam pada itu, isterinya, Ruzila Ab Halim menyifatkan kehadiran anaknya sebagai Muzawwir di Tanah suci Mekah adalah perkara paling berharga.

"Alhamdulilah, dia terpilih jadi Mutawif. Bila mendapat tawaran menegerjakan haji tahun ini, saya terus menghubunginya dan katakan keinginan untuk dia menjadi mutawif kami", ujar Ruzila.

Sementara, Muhd Atiqullah berkata, dia kali pertama kali menjadi Muzawwir cukup terharu apabila mengetahui kedua ibu bapanya antara jemaah haji yang turut menyertai ziarah terbabit.

"Saya hanya tahu ibu bapa saya dapat menunaikan haji kira-kira sebulan lalu. Keputusan menjadi Muzawwir hanya diterima beberapa hari sebelum ibu bapa berlepas. Itu pun mereka cuma beritahu saya bertugas menerusi kumpulan WhatsApp", jelasnya.

Seramai 88 penuntut Universiti Islam Madinah terpilih menjadi muzawwir bagi membantu TH dalam aktiviti ‘Ziarah Luar’ tahun ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD