LIPIS, 29 Oktober - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini, Pahang bakal mendiami asrama baharu yang diselenggarakan pembinaannya di bawah peruntukan Kementerian Kerja Raya bernilai RM7.7 juta ringgit.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek asrama itu mula dibina pada 5 November 2020 dan siap sepenuhnya pada 1 September lalu akan menempatkan seramai 100 pelajar lelaki mulai sesi persekolahan minggu ini.
Bangunan baharu sekolah itu merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan di Pahang bagi menggantikan asrama lama, sekali gus dapat menempatkan ramai pelajar luar bandar dengan lebih selesa dan berdekatan dengan dewan makan, kelas dan padang permainan.
Premis empat tingkat tersebut dibina bertiang tinggi berdekatan Sungai Jelai mempunyai ciri keselamatan untuk pelajar sekiranya berlaku kejadian banjir.
Ia diselenggarakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan dibina oleh empat kontraktor iaitu Kostegap Construction Sdn Bhd, NSC sebuah Syarikat Letrik Gemini, Mekanikal Perima Enterprise dan MYZ Construction & Enterprise.
Projek terbabit mengambil masa selama tiga tahun berikutan kawalan pemulihan pandemik COVID-19 dan berdepan isu kenaikan harga bahan binaan hingga menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.
Bagaimanapun, ia siap sepenuhnya pada September lalu dengan kemudahan lengkap seperti pejabat dan bilik warden, bilik asrama, bilik rehat, bilik rawatan, enam buah wakaf, loji kumbahan, rumah pam dan ampaian.
Abdul Rahman ditemui pemberita ketika merasmikan Bangunan Gantian 1 Blok Asrama SMK Clifford di sini.