KUALA LUMPUR, 28 November- Audit terhadap Digital Nasional Berhad (DNB) mendapati semua aspek pentadbiran dan kewangan, teratur serta tiada masalah.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, 41 projek bernilai RM51.8 juta telah dianugerahkan DNB tahun ini melalui proses tender.
"Ini yang kita tekankan dalam Kementerian Digital untuk memastikan setiap masa wujudnya ketelusan dalam urusan melalui DNB.
"Adalah perlu due diligence dilaksanakan, jadi due diligence oleh DNB dan syarikat-syarikat yang terlibat perlu dilakukan untuk memastikan segala angka pentadbiran, kewangan, serta proses berjalan dengan teratur, dan apa yang kita terima juga semuanya teratur," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat di sini.
Sementara itu, Gobind berkata kos berjumlah RM16.5 bilion untuk DNB membangunkan dan menyelenggara rangkaian 5G pertama selama 10 tahun tidak melibatkan dana kerajaan.
Sebaliknya, DNB menerima suntikan ekuiti RM500 juta pada 2021 serta pinjaman pemegang saham berjumlah RM450 juta oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2023.
Selain itu, perbelanjaan DNB dilaksana melalui pinjaman swasta, termasuk bank dan sumber lain.