fb fb fb fb fb

Askar upahan, PDRM tunggu pengesahan kedutaan Rusia

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak kedutaan Rusia berhubung dakwaan mengenai seorang warga tempatan yang terlibat sebagai askar upahan dalam konflik antara negara tersebut dan Ukraine.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, pihaknya menerusi Cawangan Khas Bukit Aman telah menghubungi pihak kedutaan Rusia.

Pihak polis masih menunggu maklumat berkenaan pengesahan termasuk status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Tambahnya, PDRM telah menghubungi keluarga individu terlibat baru-baru ini dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, individu itu hanya belajar di luar negara.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak terlibat dengan mana-mana 'pejuang asing' atau konflik membabitkan negara lain.

Sebelum ini, tular gambar yang terdapat MyKad dan lesen memandu seorang rakyat Malaysia yang beralamat di Perlis ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen tersebut ditemukan selepas tentera Rusia menawan kubu tentera lawan di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM