fb fb fb fb fb

ASEMIS 2025 perkukuh kerjasama serantau

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Penganjuran ASEAN Semiconductor Summit (ASEMIS 2025) pada 24 Julai lalu berjaya memperkukuh kerjasama serantau dalam industri semikonduktor menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara lima negara ASEAN — Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata MoU tersebut menandakan komitmen bersama negara-negara ASEAN untuk memperkukuh rantaian bekalan serantau, membangunkan bakat serta menyelaras piawaian industri bagi menghadapi cabaran global sektor semikonduktor.

“Pencapaian terpenting ASEMIS 2025 adalah termeterainya Memorandum Persefahaman antara lima persatuan semikonduktor ASEAN. Ia menandakan komitmen memperkukuh kerjasama melalui perkongsian maklumat, pembangunan piawaian bersama dan pelaksanaan inisiatif bagi menangani cabaran rantaian bekalan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed, mengenai pencapaian penganjuran sidang kemuncak tersebut.

Menurut Liew, usaha itu selaras dengan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, iaitu bagi mewujudkan Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (ASEAN Framework for Integrated Semiconductor Supply Chain, AFISS).

Katanya, AFISS memberi tumpuan kepada integrasi rantaian bekalan, pembangunan teknologi dan infrastruktur, serta pembinaan bakat dengan pendekatan melihat negara ASEAN sebagai rakan kerjasama dan bukannya pesaing.

Liew turut memaklumkan bahawa Filipina akan menjadi tuan rumah ASEMIS 2026, sebagai tanda kesinambungan komitmen negara anggota dalam memperkukuh agenda pembangunan industri semikonduktor serantau.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD