fb fb fb fb fb

ASEAN-Turkiye terus perkukuh kerjasama

Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Julai - ASEAN dan Turkiye terus perkukuh kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor menerusi Mesyuarat Tiga Hala bersama Malaysia dan Sekretariat ASEAN yang berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mesyuarat memberi penekanan terhadap ekonomi digital, keselamatan serantau dan hubungan rakyat ke rakyat.

Ia turut menjadi platform penting untuk menilai kemajuan Perkongsian Dialog Sektor ASEAN-Turkiye sejak dimeterai pada tahun 2017, selain menetapkan hala tuju baharu menerusi pelaksanaan Bidang Kerjasama Praktikal (PCA) ASEAN-Turkiye 2024–2028.

1107 NSL AMM ASEAN TURKIYE KERJASAMA 2Datuk Seri Mohamad bersama Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan (kanan) dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn (kiri) - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

Kerangka PCA ini merangkumi bidang-bidang utama seperti kerjasama politik dan keselamatan, perdagangan serta ekonomi digital, pendidikan, pengurusan bencana, dan pembangunan mampan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, hubungan ASEAN-Turkiye kini berdiri atas asas yang kukuh dan terus diperkukuh menerusi bidang-bidang strategik yang bersifat jangka panjang, termasuk dalam sektor pertahanan dan pemindahan teknologi.

Beliau turut menekankan potensi Turkiye dalam bidang e-tadbir urus sebagai contoh terbaik untuk ASEAN dalam menghadapi cabaran digital dan geo-ekonomi semasa, termasuk memperkukuh integrasi digital dan mempelbagaikan rantaian bekalan serantau.

Dalam aspek sosio-budaya, inisiatif seperti Program Biasiswa Bersama Türkiye-ASEAN, latihan untuk diplomat ASEAN serta cadangan kerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta kemahiran digital, diyakini dapat mengeratkan lagi hubungan rakyat antara kedua-dua pihak.

“Hubungan antara ASEAN dan Türkiye bukan sahaja bersifat strategik, tetapi juga didasari oleh nilai bersama yang memperjuangkan keamanan, keadilan, dan kemanusiaan di pentas dunia.

“Inisiatif ini akan memperkukuh keterhubungan rakyat dan memupuk hubungan rentas budaya yang berkekalan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru agar semua pihak di peringkat antarabangsa bersatu dalam memperjuangkan penyelesaian damai terhadap konflik global, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.

“Kita perlu bersuara bersama menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. Jika dibiarkan tanpa tindakan, ia akan terus menggugat kestabilan rantau ini dan seterusnya,” tegas beliau.

Sebagai tuan rumah mesyuarat, Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan ASEAN-Türkiye, khususnya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serantau melalui inovasi dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK