fb fb fb fb fb

ASEAN perlu disokong selepas terkesan teruk akibat pandemik global - PM

WASHINGTON, 13 Mei - Tiga perkara utama dibangkitkan Malaysia bagi menyokong negara-negara ASEAN yang terkesan teruk akibat pandemik global yang melanda dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili pemimpin-pemimpin ASEAN berkata tiga perkara tersebut iaitu Kerjasama ekonomi, pelaburan dan rantaian bekalan, serta pembangunan lestari.

"Instrumen dasar yang kukuh seperti insentif cukai, pakej bantuan khas dan langkahpemudah cara untuk kelancaran rantaian bekalan, adalah lebih penting berbanding sebelum ini untuk menyokong perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan dan mempercepat proses kembali kepada keadaan normal sebelum pandemik.

"Dalam hal ini, ASEAN komited untuk terus memudahkan operasi perniagaan di rantau ini untuk manfaat semua," katanya.

Perkara tersebut diketengahkan dalam sesi tertutup bersama Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean yang dihadiri Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo dan Wakil Perdagangan Katherine Tai.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi tertutup bersama Majlis Perniagaan
Amerika Syarikat-Asean di Washington)

Tambah Ismail, peluang baharu ekonomi digital harus dieksploitasi, selain memanfaatkan sepenuhnya perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"ASEAN melihat bahawa RCEP membentangkan alat penting untuk menggiatkan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi melalui pengurangan ketara dalam halangan perdagangan di seluruh rantau ini.

"Selain daripada menambah baik cara menjalankan perniagaan, RCEP akan mencetuskan penciptaan rantaian bekalan serantau baharu selain mengukuhkan rangkaian sedia ada," katanya.

Amerika Syarikat adalah rakan kongsi penting bagi ASEAN yang menjadi pelabur langsung asing terbesar, malah, merupakan rakan dagangan kedua terbesar dunia dengan perdagangan dua hala bernilai AS$308.9 bilion pada 2020.

Lebih 6,200 syarikat Amerika beroperasi di ASEAN, majoritinya menggunakan rantau Asia Tenggara sebagai platform pengeluaran untuk mengeksport di rantau tersebut dan di rantau lain.

Media Baharu