PUTRAJAYA, 24 Jun– Negara-negara ASEAN perlu segera mengadaptasi teknologi baharu dalam usaha memperkukuh pertahanan digital serantau untuk menangani peningkatan ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan pantas berubah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ancaman seperti penipuan kewangan dan serangan perisian tebusan bukan lagi isu masa depan, sebaliknya merupakan cabaran mendesak yang sedang melanda negara-negara di rantau ini.
"Ia jelas menunjukkan bahawa ini bukan hanya masalah yang bakal berlaku, tetapi telah pun menjadi isu utama pada masa sekarang. Oleh itu, pertahanan digital kita perlu berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.
"Kita mesti mengadaptasi teknologi baharu, termasuk penggunaan AI secara bertanggungjawab, untuk meningkatkan kecekapan dalam mengesan, mencegah serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan jenayah ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) ke-25 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, di Putrajaya.
Namun begitu, beliau menegaskan, teknologi sahaja tidak mencukupi untuk membanteras jenayah siber.
Kekuatan sebenar dalam respons kolektif terletak pada kepercayaan, perkongsian maklumat serta usaha memperkasa keupayaan antara negara anggota ASEAN.
Beliau turut menyeru semua negara anggota memperkukuh kerjasama menerusi platform serantau seperti SOMTC agar usaha menangani jenayah rentas sempadan, khususnya jenayah siber, mampu bergerak seiring dengan perubahan landskap ancaman digital yang semakin dinamik.
Mesyuarat SOMTC ke-25 ini menghimpunkan pegawai kanan keselamatan dari seluruh ASEAN bagi memperkukuh kerjasama dalam menangani pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, keganasan dan jenayah siber.