fb fb fb fb fb

ASEAN-Jepun mampu main peranan penting ke arah penyelesaian konflik Palestin-Israel

FOTO PMO

TOKYO, 17 Disember- ASEAN dan Jepun secara kolektif mampu memainkan peranan signifikan dalam komuniti global ke arah penyelesaian damai dan tuntas terhadap konflik Palestin-Israel, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang berucap pada sesi pertama Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di sini turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan negara ASEAN dan Jepun kepada resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza minggu lalu.

Sehubungan itu, Anwar menyeru kerjasama semua pihak diteruskan ke arah merealisasikan resolusi tersebut. 

"Berhubung Gaza, Malaysia menyahut baik resolusi PBB pada 12 Disember yang disokong semua negara anggota ASEAN dan Jepun ke arah gencatan senjata, akses bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan.

"Malaysia mengutuk kemusnahan dibawa Israel di Gaza, yang mengingatkan kita kepada kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki.

"(Justeru) kita perlu menyokong secara kolektif ke arah usaha damai konflik Palestin-Israel," katanya pada sidang itu hari ini.

Anwar turut menyentuh mengenai senjata nuklear dengan menuntut negara anggota ASEAN dan Jepun bekerjasama ke arah pelucutan senjata tersebut.

“Malaysia percaya bahawa kewujudan senjata nuklear yang berterusan menimbulkan risiko penggunaannya, sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA