fb fb fb fb fb

ASEAN Friendship Concert 2025 tampil persembahan 11 negara

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengadakan sidang media selepas ASEAN Friendship Concert 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media Angkasapuri /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- ASEAN Friendship Concert 2025 (AFC 2025) memukau penonton dengan gabungan hebat seni dan budaya serantau yang ditampilkan 11 negara ASEAN.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, konsert tersebut memberi peluang kepada 12 bakat muda dari 11 negara ASEAN menampilkan identiti negara dan alat muzik tradisional masing-masing.

Datuk Fahmi menzahirkan rasa bangga terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas penganjuran konsert itu buat julung kalinya.

"Sangat gembira dengan selesainya ASEAN Friendship Concert tahun 2025. Ia merupakan buat julung kalinya kita menyaksikan bukan hanya 10 negara ASEAN yang turut serta tetapi kali ini negara ke-11 iaitu Timor-Leste yang akan secara rasminya menyertai ASEAN pada 26 Oktober ini. Sudah pasti ini peluang yang baik pada malam ini untuk kita sama-sama mendengar, menyaksikan antara bakat-bakat muda dari rantau Asia Tenggara," katanya ketika ditemui selepas tamat ASEAN Friendship Concert 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Mengenai persiapan menjelang sidang kemuncak ASEAN ke-47, Datuk Fahmi berkata secara keseluruhan, tahap kesiapsiagaan persidangan kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus, dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang hari pembukaan rasmi.

Kesiapsiagaan itu termasuk memastikan segala keperluan teknikal melibatkan peningkatan jalur lebar dan pemasangan kemudahan 5G telah disiapkan bagi memastikan para pengamal media menikmati capaian Internet yang pantas dan stabil sepanjang persidangan berlangsung.

SITI NOORAIN ABDULLAH