fb fb fb fb fb

ASEAN Express tingkat perdagangan Malaysia-China

Anthony Loke Siew Fook

PETALING JAYA, 27 Jun- Perkhidmatan ASEAN Express dilihat membawa lembaran baharu dalam perkhidmatan logistik negara selain mampu menjimatkan masa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan itu sekali gus meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan China serta memperkukuh kerjasama serantau seperti Thailand dan Laos.

"Perkhidmatan Asian Express ini kita merealisasikan perkhidmatan kargo dan ia dapat menjimatkan masa. Saya rasa ia membuka satu lembaran baru dalam perkhidmatan logistik negara dan ini akan membawa satu potensi yang cukup besar untuk lebih banyak perdagangan berlaku antara negara kita dengan China.

"...dan saya rasa ia juga akan membuka satu peluang untuk kita realisasikan apa yang disebut sebagai Pan Asian River Network kerana apabila ia dibuka banyak lagi perkhidmatan tren lain dapat kita jalinkan," katanya selepas merasmikan pelancaran penghantaran pertama Asean Express ke Chongqing di China dari Kontena Nasional Inland Clearance Depot (KNICD) di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, Timbalan Ketua Misi Republik Demokratik Laos ke Malaysia, Phetwilaychanh Souvannarath, Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas, dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Perkhidmatan kereta api itu juga dijangka mengurangkan masa transit barangan iaitu hanya mengambil masa sembilan hari dari Malaysia ke Chonqing, China, selain dijangka turut membantu menjimatkan kos dalam jumlah yang signifikan.

Dalam pada itu perkhidmatan berkenaan juga akan menghubungkan laluan perdagangan baharu dan beberapa pelabuhan pedalaman termasuk Kontena Nasional Inland Clearance Depot (KNICD) di Selangor, Perlis Inland Port di Perlis, Latkrabang Inland Port di Thailand dan Thanaleng Dry Port di Laos sebagai hab perdagangan.

Sementara itu kerjasama strategik antara Kereta Tanah Melayu Berhad (KTMB) , State Railway of Thailand (SRT), Lao National Railway State Enterprise (LNRE) dan Savan Logistics-DP World akan mempergiatkan perdagangan sempadan.

Perkhidmatan baharu itu juga akan menyaksikan penggunaan lokomotif secara 'pay-per-use' buatan Malaysia yang pertama oleh KTMB.

Sebanyak enam lokomotif dan 204 gerabak yang dihasilkan menggunakan kepakaran tempatan, SMHRail, telah dipinjam oleh KTMB untuk perkhidmatan laluan pergi dan balik ASEAN Express setiap minggu.

KTMB juga berharap dapat memudahkan integrasi ekonomi yang lebih baik dalam kalangan negara jiran termasuk memacu pembangunan dan kesejahteraan serantau.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI