fb fb fb fb fb

ASEAN-BAC akan tertumpu mendorong janji niaga, transaksi, produk serantau

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 April- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yang akan dipengerusikan oleh Malaysia tahun depan akan tertumpu untuk menghasilkan peningkatan janji niaga, transaksi dan produk serantau menerusi usaha baharu untuk menggalakkan integrasi ekonomi serantau, kata pengerusinya Tan Sri Nazir Razak.

Beliau berkata, memandangkan Malaysia akan mempengerusikan sidang kemuncak serantau itu pada 2025, ia akan memacu agenda sekor swasta untuk ASEAN-BAC bagi memastikan 10 negara anggota memberikan tumpuan kepada transaksi yang memberi manfaat dan mengeratkan ekonomi.

“Lazimnya, ASEAN-BAC adalah mengenai perubahan dasar dan pembaharuan (tetapi), kami inginkan tahun depan yang lebih memihak kepada transaksi dan janji niaga,” katanya selepas pelancaran Asean Explorer Pass (Pas Penjelajah Asean) di sini hari ini.

Pelancaran pas berkenaan selaku pas perjalanan tahunan adalah contoh sesuai bagi produk serantau yang akan memanfaatkan pengembara yang menggunakan AirAsia X dan yang berada di bawah naungannya, kata Nazir sambil memaklumkan ia telah menawarkan pelbagai janji niaga sedemikian.

Menurutnya walaupun Laos adalah pengerusi bagi siri mesyuarat ASEAN-BAC tahun ini dan sidang kemuncak pada Oktober, ia membenarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah mesyuarat ASEAN-BAC ke-100 di Kuala Lumpur.

Nazir berkata ASEAN-BAC telah meneraju banyak projek di seluruh Asean dengan mesyuarat fizikal dan mesyuarat perniagaan ke perniagaan yang amat bermanfaat.

Beliau memberikan contoh terdapat lawatan daripada delegasi syarikat pertanian Filipina yang telah melawat Kuala Lumpur Kepong, Sime Darby, Farm Fresh iaitu syarikat terkemuka Malaysia dalam bidang pertanian, serta penyedia perkhidmatan dron Aerodyne, yang boleh memperkukuh pertanian teliti.

Nazir berkata sejak penubuhan ASEAN-BAC pada 2003, ia telah menjadi badan utama untuk memaklumkan kerajaan mengenai perniagaan di rantau ini dan menyokong apa-apa sahaja berkaitan perniagaan di Asean dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.

Sementara itu, produk Asean Explorer Pass menawarkan perjalanan tanpa had untuk meneroka destinasi Asean, terutama destinasi istimewa yang kurang dikenali di seluruh rantau ini, di luar destinasi terkenal dan bandar utama tahap-1 (tier-1).

Pas itu tersedia untuk pengembara global dan membantu mempromosikan Asean.

“Kami menyokong semua produk yang membantu Asean. Bagaimanapun, produk ini istimewa kerana ia bukan sekadar produk perniagaan, malah produk yang akan mempertingkatkan perjalanan merentas rantau ini, mempromosikan perjalanan perniagaan, pengembaraan pelancongan.

“Oleh itu, produk ini selari dengan apa yang kami lakukan dalam Asean-BAC,” katanya.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN