LONDON, 16 Januari-Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, komited untuk menerapkan integrasi yang lebih erat dalam ASEAN, meningkatkan perdagangan, ekonomi dan integrasi tenaga di rantau ini dan seluruh dunia.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, (JS-SEZ), merupakan contoh yang dijangka memanfaatkan potensi bakat di wilayah Johor dan kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura untuk menarik pelaburan dan mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi.
"Kami mempunyai polisi baharu seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang memberikan faedah dari mekanisme dan membuat persiapan ke arah itu di selatan Semenanjung hingga Singapura dan sudah tentu meliputi Indonesia", katanya demikian ketika ketika menyampaikan ucaptama perasmian Program InvestMalaysia anjuran Bursa Malaysia di sini.
Pada 7 Januari lalu, Singapura dan Putrajaya bertukar perjanjian mengenai JS-SEZ.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menegaskan langkah utama termasuk menyepadukan grid tenaga Thailand dan Laos dalam rangkaian ASEAN yang lebih luas serta mengeksport tenaga hidroelektrik Sarawak ke Singapura.
Usaha itu merupakan langkah penting ke arah memperkukuh jaminan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga bersih di rantau ASEAN.
Sementara itu, Perdana Menteri menyambut baik penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang membuka akses kepada pasaran utama untuk eksport Malaysia seperti minyak sawit, getah dan kayu.
Pada masa yang sama, Malaysia juga berminat untuk meneroka kerjasama dengan negara lain di selatan global, termasuk negara-negara BRICS untuk membuka saluran perdagangan baharu.
"Perkongsian CPTPP, yang sudah tentu membuka akses kepada pasaran utama untuk eksport Malaysia termasuk minyak sawit, getah, dan kayu.
"Dan perjanjian ini akan membantu rundingan kami dengan Kesatuan Eropah (EU), dengan fokus utama untuk menggunakan CPTPP bagi menggalakkan lebih banyak perdagangan, pelaburan, dan aliran produk secara bebas", katanya.
Tambah beliau lagi, Malaysia juga mengekalkan hubungan baik bersama sekutu tradisional di barat, iaitu Amerika Syarikat, serta membuka laluan baharu dengan China, India, dan Australia.