fb fb fb fb fb

ASEAN 2025: Malaysia akan tumpu isu keselamatan siber

Menteri Digital Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Malaysia akan memberi tumpuan kepada integrasi elemen keselamatan siber pada persidangan ASEAN 2025 akan datang.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, ia penting kerana isu tersebut bukan sahaja berlaku di negara ini malah di seluruh rantau.

Tambahnya, Malaysia turut terkesan sekiranya isu keselamatan siber berlaku di negara ASEAN lain memandangkan ia merupakan isu rentas sempadan.

"Apabila berlaku masalah ini, ia terdapat keperluan berstruktur seperti yang kita sediakan secara serantau yang bolehkan kita ini bertindak dengan segera supaya kita dapat faham masalah tersebut, tahu apa sebenarnya langkah yang harus diambil untuk kita selesaikan masalah kita.

"Kalau tidak terkawal dalam masa singkat maka kemungkinan besar akan akan timbul masalah dan itu akan menjadi kerosakan yang cukup besar," kata Gobind selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berharap agar perbincangan tersebut mampu mewujudkan satu kerangka yang membolehkan negara-negara ASEAN bertindak secara kolektif dan cekap dalam menghadapi ancaman keselamatan siber.

Sementara itu Gobind berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Data bagi memperkukuhkan polisi dan keselamatan data rakyat dijangka akan dibentangkan di kabinet tahun hadapan.

Katanya, komitmen itu hanya dapat direalisasikan selepas Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dipinda.

Kementerian sedang fokus memperkukuhkan jawatankuasa sedia ada bertujuan meminda akta tersebut.

"Jadi apa yang kami akan lakukan ialah mengembangkannya dan seterusnya kami akan mengemukakan cadangan kepada kabinet dan satu lagi kelulusan kami akan mendapat maklum balas daripada industri. Kami juga akan mendapat maklum balas daripada akademik dan agensi lain," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF