fb fb fb fb fb

ARKIB buka ruang, peluang jayakan pameran berkaitan legenda negara

Ketua Pengarah ARKIB Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman

SERDANG, 15 Mei- Arkib Negara Malaysia (ARKIB) sentiasa membuka ruang dan peluang dalam menjayakan pameran berkaitan tokoh-tokoh dan legenda negara.

Menurut Ketua Pengarah ARKIB Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, fungsi ARKIB mengesan, mengumpul, menyimpan dan memelihara sebarang maklumat yang mempunyai nilai kebangsaan dan sejarah yang tinggi sebagai khazanah warisan kepada negara.

"ARKIB sebenarnya boleh menjadi 'content provider', kita ada banyak maklumat yang berkaitan dengan tokoh-tokoh atau berkait negara kita.

"Yang boleh kita menguar-uarkan ataupun kita ketengahkan untuk tontonan dan penghayatan generasi muda daripada segi pemahaman tentang negara, pembinaan jati diri dan sebagainya," katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke Pameran Memperingati Sudirman yang diadakan di Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan daripada pengeluar filem atau ahli keluarga tokoh mahupun peminat untuk menyumbang bahan kepada ARKIB.

Jelasnya, tokoh-tokoh tidak terhad kepada seniman, ahli politik, agama, pendidik dan sebagainya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM